Saturday, June 29, 2013

Diagnosis

Heh.. tak mau gelak sendiri! Itulah ayat yang umi baru lepaskan tadi dan banyak kali sebelum ni... Bukan apa, umi risau kalau tengok Fawwaz senyum dan gelak sorang2. Umi tak tau apa yang Fawwaz gelihati tu..

Hari ini kita melakukan langkah pertama ke arah penyembuhan Fawwaz, In shaa Allah. Awal pagi, umi, abi dan Fawwaz dah bertolak menuju ke Ipoh. Tiba2 umi nekad nak bawa Fawwaz ke klinik Attitude Therapy. Umi kata kat abi, kalau abi sibuk, umi pergi sendiri pun takpe. Alhamdulillah, abi ambil keputusan nak ikut. Bukan apa, sebab dah makan tahun umi cuba yakinkan abi untuk merawat Fawwaz. Umi tak mau semangat umi hilang sekali lagi..

Tadi kita berjumpa dengan Dr Hj Aishah yang sangat lembut dan menyenangkan pertuturannya. Setelah umi menceritakan tentang masalah Fawwaz, dr buat pemeriksaan melalui umi.

Ayat pertama yang keluar dari Dr selepas pemeriksaan agak mengujakan. Dr kata "pandai budak ni!". Ya, Dr bagi 100% untuk IQ Fawwaz. Yelah, markah utk ujian ni bukan yg macam Einstein tu. Tapi mana tau, kalau akan datang IQ tu melebihi Einstein... hehe.

Untuk EQ, agak rendah sikit iaitu 70%. Dan semakin rendah untuk yang lain2. Untuk tahap kesedaran cuma 20%, skill 40%, dan lain2 yang kebanyakan tak sampai 50%. Dr kata ada sedikit autism iaitu 15% dan boleh hilang (sembuh). InsyaAllah ye... Umi berdoa sangat2.  Ada lain2 lagi yang Dr diagnosed, tapi umi tak mau sebutkan di sini. Bimbang boleh mendatangkan fitnah. Namun umi insaf, dan berharap boleh diubati dengan izin Allah.

Dr mencadangkan supaya Fawwaz dimandikan ais bersama garam yang khas untuk 3 hari berturut. Bermakna 3 hari tu, kita kena lakukan di klinik. Boleh juga dibuat di rumah jika ada peralatan sesuai. Cuma sekarang belum boleh nak confirm masanya sebab abi nak ke Bahrain minggu depan. Ruang mandi di klinik juga sedang diubahsuai. Paling awal kita boleh pergi 3 minggu lagi..

Perubatan ni adalah secara Islam dan dr sarankan abi dan umi buat solat hajat untuk menghapuskan segala unsur2 yang mengganggu, di samping doa Dr sendiri.  Dan sudah beribu pesakit seumpama ni yg Dr dah rawat. Umi beritahu Dr, setiap malam umi pasangkan surah Ruqyah dan nampaknya Fawwaz mudah tidur. Dr setuju dan katanya memang kena lakukan pelbagai cara dalam satu masa supaya lebih efektif.

Semoga anak umi tidur lena.. esok jangan meragam tak nak ke sekolah ye!  :)


Tuesday, June 18, 2013

Fawwaz Sesudah Cuti


Happy belated birthday Fawwaz!! Anak ummi sambut birthday ke-6 pada 14 Jun lepas. Sampai hari ni ummi belum sempat keluar belikan hadiah. Dan nampaknya abi pun senyap je tahun ni... Hehehe! InsyaAllah, adalah nanti ye... Macam biasa, hadiah ummi memang lambat sikit. Tapi, ummi tetap sediakan kek kegemaran Fawwaz on time! 

Ummi memang susah nak keluar jauh-jauh. Lagi pulak ummi belum ada feel nak berjalan shopping di tempat ni. Tapi, nak tak nak, suatu hari nanti ummi akan mahir juga perjalanan di sini.

Tadi tengahari, ummi sembang kejap dengan cikgu. Umi nak minta pertolongan cikgu untuk rakam video Fawwaz di kelas. Cikgu pun ada beri pandangan. InsyaAllah, semoga harapan umi nak bawa Fawwaz buat diagnosis dengan pakar termakbul. Sebab ni dah kira masa kritikal untuk Fawwaz cope up dengan pelajaran asas sebelum masuk tahun 1.

Tadi, kata cikgu, sejak lepas bercuti Fawwaz semakin aktif. Aktif maksud cikgu ialah agresif dan tiada penumpuan. Umi pun sebenarnya sedar akak perubahan ni. Perubahan di rumah lebih kepada kurang minat Fawwaz kepada aktiviti belajar. Dah tak mau pegang doodle board apatah lagi pensil dan warna. Sekarang kalau tak di meja komputer, Fawwaz akan fokus kepada TV. Tapi memandangkan ada unsur pelajaran pada katun tu, umi biarkan dulu. Sesekali umi akan bersoal jawab tentang aktiviti, warna, perbuatan dan lain-ain berdasarkan katun tu. Contohnya ada COW di situ. Fawwaz tau itu cow. Ummi akan tanya "how to spell cow" atau "let's spell cow". Setakat ni, benda-benda macam tu yang ummi buat supaya menoton itu membawa manfaat.

Fawwaz agak takut dengan katun ni.. Kalau ada iklannya, cepat2 dia tutup TV.. :D


Nota:
Panggilan Fawwaz terhadap mak berubah2.. Mula2 umi, jadi mama, lepas tu mummi... sekarang jadi ummi semula dan nampaknya kekal. Alhamdulillah...


Tuesday, April 16, 2013

Professor!

Sedang mama melipat kain, tiba-tiba Fawwaz bersuara. Ajak mama bersembang. Tak jelas apa butirnya, yang mama dengar macam perkataan 'professor'. Teruja pulak mama dengar.

"Professor?". Mama tanya Fawwaz
"Yes... professor xxxxx.. ball" Tak jelas juga. Yang dengar perkataan professor dengan ball je

Mama pun bangun sebab nak tau. Pergi dekat meja game..
Owhhh.... mamat kat game tu ye. Dan memang itu watak professor dalam game.
Kadang-kadang mama rasa macam Fawwaz dah pandai baca, walau mama berilusi je. Kalau tak, camna Fawwaz tau nama benda2 kecik tu, padahal volume pun tak kuat.

"You are genius! You know he's a professor... Nanti belajar pandai2 sampai jadi professor ye.."
Moga2 kata-kata mama menjadi doa yang makbul petang tadi...



Sunday, April 14, 2013

Baju Sukan Sekolah

Setiap kali masuk minggu baru dan hari pertama sekolah, mama akan rasa sedikit stress. Lebih2 lagi kalau abi takda. Kalau jatuh hari Ahad, cabarannya ialah nak menyiapkan Fawwaz awal dan tiba di sekolah sebelum pukul 7.30 pagi. Fawwaz kena masuk perhimpunan sekolah bersama kakak2 dan abang2 senior. Dan selalunya Fawwaz akan masuk ke kawasan sekolah dengan pelbagai alasan. Fawwaz akan hanya berdiri di tepi dinding sampailah ada cikgu yang berjaya bawa Fawwaz masuk (selain cikgu kelas).

Hari ni sekolah bermula pada hari Isnin sebab semalam cuti. Cabaran hari ni ialah untuk memaksa Fawwaz menyarungkan T Shirt sukan yang Fawwaz tak pernah suka. Sekali je Fawwaz pakai masa nak ambil gambar kelas. Hari tu Fawwaz pergi dengan 'moody'nya. Kali ni, mama berdoa sedari semalam supaya Allah lembutkan hati Fawwaz hanya untuk menyarung baju tu. Namun sampai keluar rumah pun, Fawwaz masih taknak pakai.

Jadi, pagi ni mama beri 2 pilihan saja. Membawa baju sukan tu dan baju lama warna biru yang Fawwaz dah tak mau pakai. Sampai separuh jalan Fawwaz tak berbaju, cuma pakai seluar sukan lengkap sampai kasut. Bila dah dekat sekolah tu, tiba-tiba Fawwaz bersuara nak pakai baju. Mama hentikan kereta kat tepi jalan dan senyum berjaya. Dengan relanya Fawwaz pakai baju tu. Lega sangat. Segalanya lancar sampailah Fawwaz masuk ke kelas.

Mama balik semula ke rumah dengan senyuman gelihati dan penuh syukur. Terima kasih ya Allah. Doa mama untuk Fawwaz memang selalu Allah makbulkan dengan apa cara pun...  Kenalah mama belanja Fawwaz pasta carbonara Pizza Hut tengahari nanti  :))

Tak tau apa yg tak menarik di mata Fawwaz. Umi tengok hensem je Fawwaz pakai baju nih... :D


Wednesday, April 10, 2013

Apabila 'Mouse' Tiada..

Sejak mouse rosak, prestasi Fawwaz semakin baik. Fawwaz dah tak melepak dan berebutkan netbook ni lagi. Jadi, mama rasa dah tak mau guna mouse lagi walau jari telunjuk mama tak berapa gemar dengan 'tugas' terbaru ni  :D

Sekarang Fawwaz suka menyiapkan kerja-kerja sekolah yang tertunggak sejak tahun lepas. Masa di Tadika Kasyiful Ulum, memang banyak buku-buku dan kertas tugasannya. Ada banyak matapelajaran termasuk BM, English, matematik, pendidikan seni, bahasa Arab, Jawi, Quran/Iqra', dan lain-lain. Mungkin lebih sepuluh buku.. Mama pun tak kira. Buku-buku tu masih banyak yang kosong samada tak sempat atau ada yang Fawwaz tak mau buat. Biasalah anak mama ni... Perangainya dibawa sampai sekarang.

Jadi, Fawwaz akan keluarkan semua buku-buku tu dan mengisi mana yang kosong. Nanti kalau dah siap tu, baru mama nak belikan buku2 yang baru. Lagipun Fawwaz baru nak mahirkan pegang pensil dan juga baru tumbuh minat nak menulis terutamanya yang berkenaan huruf. Cengkaman pun belum kuat. Satu kejadian tadi, masa buat kiraan dalam BM dan kena menuliskan angkanya di dalam kotak, Fawwaz confuse kejap. Fawwaz kira semula dalam English, baru tau angka apa nak tulis.

Mama juga sama-sama menonton kartun dengan Fawwaz sambil menguji minda. Contohnya masa menonton katun 'Jake and the Neverland Pirate' tadi, mama tanya semua watak yang ada. Memang Fawwaz hafal betul! Ada Jake, Cubby, Izzy, skully, Captain Hook, Mr Smee dan sapa entah lagi. Mama pun tak dapat tangkap sangat dan mama check kat Google untuk pastikan betul ke tidak :)


Macam malam semalam, waktu nak tidur, mama konon2 bercerita sambil melukis. Ringkas je. Mama sebut dan lukis budak perempuan, bakul, epal, pokok, rumah, hutan, nenek dan serigala dalam bahasa English. Pantas Fawwaz cakap "red hood". Walau tak penuh, Fawwaz tau itu cerita Little Red Riding Hood yang mama tak pernah cerita pun. Buku berkenaan pun takde. Entah bila Fawwaz tengok pun mama musykil. Nak kata dalam rancangan Disney Jr tu, takde pulak. Tapi, mesti Fawwaz pernah tengok sekali dua sebelum ni yang mama tak sedar.

Mama duk fikir, macamana nak buat ingatan Fawwaz terhadap apa yang mama ajarkan ni mudah diingati macam Fawwaz mengingati karakter dan jalan cerita katun-katun tu...


Tuesday, April 2, 2013

ANT..

Mama dah puas pujuk Fawwaz siapkan kerja sekolah yang cikgu beri sebelum cuti. Cuma separuh siap dari yang berhelai-helai. Apa yang tak siap tu? Ialah tugas untuk menyambungkan titik-titik pada beberapa huruf iaitu C, C terbalik (dah siap), circle (siap), O, d dan b. Memang liat sungguh Fawwaz kalau disuruh menulis huruf sampai 4-5 mukasurat. Setiap huruf, satu mukasurat. Mama dah tak larat nak suruh. Fawwaz lebih sanggup tak main game, tak minum susu, tak makan dari menyiapkannya. Dan Fawwaz akan tulis huruf-huruf tu di tempat lain iaitu doodle board kesayangan Fawwaz. Bukan dia tak tahu cuma dia tak mau. Mungkin tak rajin atau nak protes... :)

Sekarang ni, apa yang dia lukis, Fawwaz akan cuba mengeja pula. Fawwaz akan tiru apa yang mama tulis di laptop. Atau Fawwaz akan eja ikut apa yang terlintas. 2-3 hari ni mama seronok tengok lukisan baru Fawwaz. Bukan setakat dinosaur sahaja, tapi Fawwaz dah pandai lukis semut.  ANT yang Fawwaz tengok hari-hari di Word World.. Mmmm.. boleh tahan  :D



Tuesday, March 19, 2013

Tadika Corner

Sedikit demi sedikit mama siap tadika corner kat tepi pintu ni. Sebab ruang tamu yg luas dan takde apa2 untuk di letak, abi cadangkan buat mini tadika sendiri kat situ. Untuk menggilap sendiri potensi sebenar Fawwaz dalam pembelajaran. Cuma mama tak berapa kreatif untuk mencipta sesuatu yg lebih ceria.. hehe!

Jadinya, balik dari sekolah, demi masuk je rumah mama selalunya akan terus mengajar Fawwaz. Sebab, selalunya, mood Fawwaz di waktu itu baik sangat2! Tengahari tadi Fawwaz belajar suku kata "a" - ba ca da fa. Selain menyebut hari-hari dalam English. Agenda disambung oleh Kak Ngah yang datang dengan abi selepas tu... Nampaknya Fawwaz pun seronok tunjuk kebolehan depan KN. Jadi, hari ni sangat banyak ilmu di kepala Fawwaz. Mama sudahi dengan bacaan Al-Fatihah sebelum tidur  :)